Assalamualaikum,
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus
hidup di bumi-Nya ini. Kini kita menyambut tahun baru 1433 Hijrah maka
setahun lagi usia kehidupan kita bertambah. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang
terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk
meningkatkan amalan dan ketaqwaan sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT
suatu masa kelak.
Sesuai dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, maka ada
baiknya kita memperingati Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan
ia selari dengan perintah al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam
al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada
peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar
dan peringatan untuk semua. Firman Allah SWT
Justeru, memperingati Peristiwa Hijrah ertinya membelek
semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimana pengorbanan
yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan
ketuanan Islam di muka bumi ini seperti mana di perintahkan oleh Allah SWT.
Hari ini, setelah 1433 tahun ia berlalu, kisah hijrah
Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya,
adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah
tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama
melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan
dan perilakunya selepas ini. Amin......
